Saturday, November 20, 2010

Bagaimana Bercouple Cara Islam?

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?
Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.
Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.
Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.
Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".
Masyarakat Sudah Lari
Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.
"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang.
Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang beliau.
Konsep Meminang
Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, "Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas.
Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda.
Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan," jelas beliau lagi.
Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta.
Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.
Perigi Cari Timba
Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, 'macam perigi mencari timba', 'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi." Sabar dahulu saudari.
Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.
Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah.
Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.?
Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.
Indahnya Cara Islam
Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.

Friday, November 12, 2010

ANTARA TENAGA LELAKI DAN PEREMPUAN,,,

Alhamdulillah telah lebih sebulan saya terpaksa memikul tugas serentak sebagai seorang ibu dan ayah kepada 3 orang anak lelaki kami. Sebagai seorang bapa, 'memangku' tugas seorang ibu memang amat mencabar kesabaran saya. Apatah lagi dengan usia anak-anak yang masih kecil dan agak rapat usia mereka.
Kesabaran insan bersama wanita justeru amat dikagumi dan wajar diselidiki rahsianya. Lelaki dan wanita hakikatnya adalah sama. Keutamaan yang Allah berikan kepada golongan lelaki berbanding wanita adalah kerana kelebihan daripada aspek pengurusan diri, keluarga dan juga harta benda. Tiada keutamaan lelaki berbanding wanita. Yang ada, hanyalah perbezaan.
Lelaki boleh berbangga kerana memiliki tenaga yang kuat. Dia boleh mengangkat barangan yang berat, melakukan kerja yang sukar dan mempunyai tubuh yang sasa. Akan tetapi, cuba berikan mereka tugas untuk menjaga anak dan menguruskan rumah selama sehari. Belum tentu si lelaki tadi dapat melaksanakannya.
Semua ini disebabkan kerana perbezaan daripada aspek pengurusan tenaga yang amat berbeza antara lelaki dan wanita. Menurut kajian, metabolisme dan struktur lemak wanita membolehkan mereka memiliki tenaga simpanan yang lebih tinggi berbanding lelaki. Dengan sebab itulah mereka boleh berterusan mendukung anak, melayan mereka untuk jangka masa panjang, serta dalam masa yang sama mampu menguruskan rumah. Mereka juga boleh bekerja tanpa henti (Tanenbaum, Joe. Male & Female Realities, Understanding the Opposite Sex. NV: Robert Erdmann Publishing, 1990. p 87-88, 136).
Sementara lelaki pula, walaupun mempunya jumlah tenaga yang tinggi kerana bilangan oksigen, glycogen dan phosphocreatine yang tinggi berbanding wanita, akan tetapi tenaga mereka cepat kehabisan. Dengan sebab itu, cubalah minta sang adi wirawan bertubuh sasa memangku kerja-kerja isterinya, cepat sahaja tenaga si sasa tadi kehabisan.
Atas sebab itulah wanita sebenarnya lebih berdaya tahan di dalam suasana yang ekstrim, stress dan mendera berbanding lelaki (Stump, Jane Barr, PhD. What's the Difference? NY: William Morrow and Company, Inc., 1985. p 72).
Selain itu, golongan wanita juga menggunakan tenaga mereka untuk fokus. Apabila mereka fokus, mereka perlu pergi ke luar diri mereka untuk memulihkan tenaga. Mereka mampu memulihkan tenaga ketika berinteraksi dengan dunia luar, seperti ketika membeli-belah, menonton filem atau sekadar bersembang panjang dengan rakan.
Sementara lelaki pula, untuk memulihkan tenaga mereka, mereka perlu pergi ke dalam diri mereka sendiri, dengan cara utamanya ialah tidur dan berehat panjang. Atau mereka juga boleh pergi ke luar diri mereka tetapi dengan hanya satu aktiviti sahaja, seperti hanya membaca buku, atau hanya menonton televisyen.
Maknanya, wanita perlu pergi ke luar diri mereka untuk memulihkan tenaga mereka. Sementara lelaki pula perlu pergi ke dalam diri mereka untuk mengembalikan tenaga (Tanenbaum, Joe. Male & Female Realities, Understanding the Opposite Sex. NV: Robert Erdmann Publishing, 1990. p 87-88).
Subhanallah, hebat sekali ciptaan Allah yang menjadikan kita ini berbeza. Dengan sebab itulah, taktala sang teruna sedang mencari-cari insan yang sempurna untuk menjadi pasangan hidupnya, jangan lupa bahawa hakikatnya tiada siapa pun yang sempurna. Sebaliknya, si dara yang dicari adalah untuk menjadikan kehidupan kita lebih sempurna, lengkap-melengkapi.
Ramai yang bertanya bolehkan saya tahan menjaga anak-anak tanpa ibu mereka di sisi. Sebenarnya, kena banyak bersabar. Jika ditanya apa tips utama, jawapan saya mudah sahaja. Just simply ignore them. Pekakkan sahaja telinga. Kerana saya tahu keterbatasan tenaga lelaki saya. Buat apa perlu dibazirkan. Lagipun memang sudah menjadi lumrah kerenah kanak-kanak, makan, main, bergaduh, menangis, dan akhirnya akan tidur juga.
- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaysia Pahang. Sebelum ini beliau merupakan lulusan master Islamic Jerusalem Studies dari University of Aberdeen, UK. Ketika beliau di UK, beliau pernah menjadi panel soal jawab agama iluvislam.com. Beliau menulis di abidfana.com.